Publication
Membangun pemikiran kritis dan pemikiran inventif dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu : Satu kajian kes di Brunei dan di Singapura
Loading...
Abstracts views
8
Views & Download
3
Abstract:
Objektif kajian Rutin Berfikir 'Figura Bahasa' adalah untuk mengenal pasti keberkesanan pemikiran kritis dan pemikiran inventif (Critical and Inventive Thinking - CIT) di dalam suasana pembelajaran bahasa Melayu, khususnya penulisan karangan naratif. Kemahiran berfikir era abad-21 ini dipilih untuk membentuk pelajar membesar dengan kehidupan intelektual di sekeliling mereka. Kajian ini menggunakan kedua-dua penyelidikan kuantitatif dan kualitatif yang bertujuan mencari keseimbangan di dalam pengumpulan data. Data yang telah dikumpulkan, dianalisis secara deskriptif dan inferensi.
Data kuantitatif dianalisis dengan IBM SPSS versi 21 untuk menentukan persepsi responden akan Rutin Berfikir 'Figura Bahasa'. Data kualitatif pula mengguna pakai perisian ATLAS.ti versi 8 untuk menganalisis temu bual guru dan refleksi pelajar. Dalam menyelidiki kemahiran berfikir pelajar Bahasa Melayu, pengkaji telah mengambil dua pendekatan dalam kajian ini. Pendekatan pertama berfokus pada fungsi instrumen kajian iaitu Puisi Intan sebagai kerangka perancah untuk mengumpul kosa kata yang ada kaitan dengan komponen karangan naratif. Langkah ini bertujuan untuk melihat sejauh mana perancah Puisi Intan dapat menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan inventif dalam mencari kosa kata yang menarik untuk diisikan ke dalam kerangka Puisi Intan. Pendekatan kedua diambil untuk menilai hubungan pemikiran kritis dan pemikiran inventif dengan variabel terpilih sehingga berupaya mempertingkatkan penulisan karangan naratif. Responden bagi kajian ini terdiri daripada pelajar sekolah menengah di Brunei dan di Singapura. Hasil analisis menunjukkan pemikiran kritis dan pemikiran inventif diguna pakai secara aktif dalam pembelajaran penulisan karangan naratif. Dapatan kajian memaparkan peningkatan yang memberangsangkan dalam pascaujian karangan naratif berbanding dengan praujian. Karangan naratif yang dihasilkan oleh pelajar didapati lebih bermutu dari segi idea dan lebih menarik dari segi penggunaan bahasa. Strategi Rutin Berfikir
'Figura Bahasa' yang digunakan didapati berkesan dalam pembelajaran penulisan karangan naratif yang sememangnya mementingkan ISI dan BAHASA. Maklum balas dari soal selidik dan borang tinjauan pelajar, temu bual guru dan borang refleksi pelajar membuktikan keberkesanan Rutin Berfikir
'Figura Bahasa' di dalam pembelajaran karangan naratif. Hasil kajian ini diharapkan dapat menggalakkan pengaplikasian pemikiran kritis dan pemikiran inventif dalam pembelajaran Bahasa Melayu agar ia menjadi suatu budaya berfikir yang boleh dilestarikan sepanjang hayat.
Description:
xxv, 434 pages : illustrations, table ; 30 cm | Sebuah tesis yang dihantar kepada Universiti Brunei Darussalam sebagai memenuhi syarat Ijazah Doktor Falsafah | Thesis is not for loan or reference use | Thesis (PhD) - Universiti Brunei Darussalam 2020 | Includes bibliographical references pages 290 - 316.
Date:
2020
Authors:
Fawziyah binte Ali
Publisher:
Universiti Brunei Darussalam